KLUANG: Walaupun hanya diberi peluang tiga jam, detik itu dapat meleraikan perasaan rindu seorang ibu terhadap anaknya selepas hampir tiga tahun tidak bertemu.
Itu luahan hati Sara (bukan nama sebenar) selepas dikenakan tahanan sejak 2019 atas kesalahan jenayah ketika ditemui di Penjara Simpang Renggam, di sini dalam Program Jalinan Kasih yang diadakan khas untuk penghuni wanita.
Sara berkata, selama berada dalam tahanan, ‘kehilangannya’ dirahsiakan daripada anak tunggalnya itu kerana tidak mahu insan kesayangannya hilang semangat dan menyimpan rasa marah serta dendam apatah lagi ketika kejadian zuriatnya itu baru berusia lapan tahun.
“Pada mulanya dia seperti tidak mahu memeluk saya, namun selepas satu ciuman diberikan dia akhirnya membuat pelukan seolah-olah tidak lagi mahu berpisah.
‘Peluang tiga jam yang diberikan ini kami gunakan sepuas-puasnya melepaskan rindu masing-masing kerana tidak tahu sama ada kami akan bertemu lagi atau sebaliknya,” katanya.
Sementara itu, anak wanita tersebut berterima kasih kepada Penjara Simpang Renggam kerana membuka ruang untuk menemui ibu tersayang.
“Saya berdoa agar ibu dibebaskan segera bagi membolehkan kami membina semula kehidupan dan apa yang berlaku ini diharapkan menjadi pedoman pada ibu serta semua insan lain,” katanya. – UTUSAN