PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) hampir pasti merampas semula kerusi Parlimen Nibong Tebal apabila calonnya, Fadhlina Sidek meraih 18,547 undi setakat 8 malam.
Senator Dewan Negara itu jauh meninggalkan penyandangnya, Mansor Othman dari Perikatan Nasional (PN) yang meraih 8,303 undi.
Mansor merupakan penyandang di Nibong Tebal sejak 2013 ketika beliau mewakili PKR, sebelum beliau menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2020.
Calon BN, R. Thanenthiran meraih 3,576 undi manakala calon Bebas, Goh Kheng Huat meraih 238 undi.-UTUSAN