BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 21 notis atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 l dikeluarkan Unit Keselamatan Dan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (PKDSPT) dalam satu operasi penguatkuasaan di sini, kelmarin.
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan negeri dalam kenyataan berkata, jumlah kompaun keseluruhan itu mencecah RM8,950.
Terdahulu katanya, operasi penguatkuasaan terbabit dijalankan di sekitar Bukit Mertajam melibatkan seramai 10 anggota Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran di PKDSPT.
Kata kenyataan itu, secara keseluruhannya sebanyak 18 buah premis makanan diperiksa dalam Op Premis Bersih berkenaan.
“Antara kesalahan yang dikesan termasuk di bawah Peraturan 11 (2) iaitu menggajikan pengendali makanan tanpa suntikan anti tifoid dan latihan pengendali makanan selain kesalahan tidak memakai pakaian perlindungan diri yang lengkap ketika mengendalikan makanan di bawah Peraturan 32 (3).
“Kesalahan lain ialah di bawah Peraturan 33 (2) iaitu berkuku panjang semasa mengendalikan makanan serta kesalahan di bawah Peraturan 34 (2) iaitu gagal mengekalkan premis dalam keadaan bersih,” katanya.
Jelas kenyataan itu, menjadi tanggungjawab pemilik serta pengusaha premis makanan memastikan premis makanan mereka berada dalam keadaan bersih setiap masa dan mematuhi segala peraturan ditetapkan. – UTUSAN