PETALING JAYA: PKR menjangkakan bekas Naib Presidennya, Tian Chua yang bertanding calon Bebas di Parlimen Batu akan tersungkur pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli bagaimanapun yakin kemenangan akan terus berpihak kepada Pakatan Harapan (PH) menerusi penyandang kerusi itu, P. Prabakaran.
“Saya rasa Tian Chua akan kalah dan Prabakaran menang,” katanya dalam sidang akhbar minggu di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.
Sabtu lalu, Tian Chua hadir di pusat penamaan calon di SMK Sentul Utama untuk merebut kembali kerusi itu.
Bekas Ahli Parlimen Batu itu dan Prabakaran merupakan antara 10 calon yang bertanding termasuk calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kohilan Pillay; Gerakan Tanah Air (GTA), Wan Azliana Wan Adnan; Parti Warisan, P. Naganathan dan Perikatan Nasional (PN), Azhar Yahya.
Peguam, Siti Zabedah Kasim dan Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau lebih dikenali sebagai Cleopatra serta beberapa individu lain pula bertanding sebagai calon Bebas.
Pada PRU14, Tian Chua hilang kelayakan untuk mempertahan Parlimen itu apabila pegawai pengurus pilihan raya membatalkan kertas pencalonannya. – UTUSAN