PUTRAJAYA: Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul, Turkiye mengesahkan bahawa tiada warga Malaysia yang terlibat dalam insiden pengeboman di bandar raya itu lewat semalam.
Menerusi kenyataan dalam laman sosial rasminya, pihak konsulat berkenaan menambah, mereka turut bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan berhubung kejadian itu.
“Konsulat Jeneral Malaysia berkeyakinan bahawa pihak berwajib di Istanbul akan menahan suspek dan membawa penjenayah itu ke muka pengadilan dalam masa terdekat,” katanya.
Semalam, satu letupan berlaku di Istiklal Avenue, laluan popular dalam kalangan pelancong asing di sekitar Dataran Taksim, Daerah Beyoglu yang membunuh enam orang pejalan kaki dilaporkan berlaku pada pukul 4.20 petang waktu Turkiye (9.20 malam tadi waktu Malaysia) dan turut mengakibatkan 81 individu lain mengalami kecederaan.
Tiada kumpulan tertentu yang mengaku bertanggungjawab, namun laluan tersebut pernah menjadi sasaran pengganas Daesh dan pemberontak Kurdish masing-masing pada 2015 dan 2016.
Mengulas lanjut, Konsulat Jeneral Malaysia bagaimanapun terus mengingatkan rakyat negara ini agar berwaspada dengan keadaan sekeliling dan mengelakkan tempat sesak.
“Kami turut merakamkan perasaan simpati dan mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa serta berharap mereka yang cedera akan dapat segera sembuh semula,” katanya.
Warga Malaysia yang memerlukan segera bantuan konsular boleh berhubung terus dengan pihak Konsulat Jeneral Malaysia melalui talian am +90 212 989 1001 atau +90 536 289 6788.
Mereka juga boleh menghubungi talian kecemasan selepas waktu pejabat iaitu +90 551 711 2174 atau +90 553 897 9767 selain mengutus e-mel terus kepada [email protected] atau berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di ibu kota Ankara melalui talian +90 312 446 3547 atau +90 534 457 1006 atau e-mel [email protected].
Konsulat berkenaan yang dibuka sejak tahun 2020 ketika ini diketuai Tengku Mohd. Dzaraif Raja Abdul Kadir dengan premis terletak di Blok B, Plaza Polat, Daerah Levent Sisli, Istanbul. – UTUSAN