PUTRAJAYA: Kementerian Luar hari ini mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam kejadian gempa bumi di Cianjur, wilayah Jawa Barat, Indonesia, semalam.
Perkara berkenaan disahkan sendiri pihak Kedutaan Besar Malaysia di ibu kota republik tersebut, Jakarta sebagai merujuk kepada insiden bencana itu yang meragut 162 nyawa.
“Setakat ini tidak ada warga Malaysia yang dilaporkan terlibat dalam peristiwa buruk itu,” kata kenyataan Wisma Putra di sini ketika mengulas perkembangan gempa dahsyat berukuran 5.6 magnitud Seismik itu berlaku pukul 1.21 tengah hari Isnin waktu Indonesia Barat (2.21 petang waktu Malaysia) di Cianjur kira-kira 110 kilometer dari Jakarta.
Seramai 389 orang dilaporkan mengalami kecederaan manakala 25 individu lagi masih hilang dengan lebih 2,300 kediaman musnah selain impak gempa dapat dirasai di Jakarta sendiri.
Mengulas lanjut, Wisma Putra menambah, sekiranya ada mana-mana rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular, mereka boleh berhubung terus dengan pihak kedutaan besar menerusi talian pertanyaan umum +62 21 522 4947 atau +62 813 8081 3036 untuk urusan kecemasan selepas tempoh waktu pejabat.
Kedutaan Besar Malaysia itu yang terletak di Jalan HR Rasuna Said, Kuningan, Daerah Jakarta Selatan juga menerima e-mel yang dihantar kepada alamat [email protected]. – UTUSAN