Tiada lagi kerusi selamat PKR di Johor

Tiada lagi kerusi selamat PKR di Johor

JIMMY Puah Wee Tse berucap pada Ceramah Mega Johor di Taman Gaya, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU:  Perubahan landskap politik pada masa ini menyebabkan tidak timbul istilah ‘kerusi selamat’ bagi PKR di negeri ini.

Calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse berkata, keadaan itu menyebabkan sukar untuk menentukan bahawa parti itu dapat mempertahankan kerusi yang dimenangi dengan majoriti besar seperti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Naib Pengerusi PKR Johor itu berkata, perkembangan tersebut membuatkan PKR perlu bekerja keras untuk memastikan gabungan itu menjadi pilihan rakyat pada PRU15.

“Sebagai contoh di Parlimen Tebrau ini, ia bukan lagi kerusi yang menjanjikan majoriti sokongan besar terhadap PKR. Sukar untuk meramalkan pengundi di situ kini cenderung kepada parti mana. 

“Terdapat beberapa sebab menyebabkan situasi ini berlaku termasuk Langkah Sheraton yang sehingga kini memberi kesan kepada penyokong setia PH,” katanya selepas Ceramah Megah Johor di Taman Gaya ,di sini malam tadi.

Wee Tse yang bertanding di kerusi Parlimen Tebrau yang dimenangi PKR pada PRU14 berdepan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Nicole Wong Siaw Ting dan calon PN, Mohamed Isa Mohamad Basir.

Pada PRU14, Steven Choong Shiau Yoon yang bertanding atas tiket PKR di Parlimen Tebrau menang dengan majoriti 37,225 undi menewaskan calon BN, Hou Kok Chung dan calon Pas, Abdullah Husin.

Shiau Yoon kemudian keluar PKR dan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN) pada Februari tahun lalu sebelum menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan kini merupakan Naib Presiden Kanan PBM.

Wee Tse yang juga seorang peguam berkata, tindakan Shiau Yoon itu turut memberi tempias buat dirinya ketika menyantuni pengundi di kawasan berkenaan. 

Keadaan itu menjadikan tugasnya bertanding di kerusi berkenaan semakin mencabar dan memerlukan perancangan rapi bagi memenangi hati pengundi di Parlimen Tebrau.

“Pengundi yang menyokong kami (PKR) pada PRU14 meluahkan kemarahan mereka kepada saya. Mereka masih kecewa dengan Langkah Sheraton yang mengakibatkan kerajaan Persekutuan pimpinan PH tumbang pada 2020. 

“Ketika kami menyantuni mereka, masih ramai  kurang berkeyakinan wakil rakyat yang dipilih nanti tidak akan mengkhianati mereka dengan melompat parti walaupun Akta Anti Lompat Parti digubal,” jelasnya.

Parlimen Tebrau merekodkan jumlah pengundi tertinggi di negeri ini, seramai 223,301 orang, iaitu Melayu sebanyak 53.38 peratus, Cina (33.54 peratus), India (11.56 peratus) dan lain-lain (2.56 peratus). – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya