Tiada asas kukuh kaitkan bekalan telur pulih selepas PRU15 

Tiada asas kukuh kaitkan bekalan telur pulih selepas PRU15 

AZMAN Mohd. Yusof bercakap dalam sidang akhbar selepas Program 'Sihat Ke Saya' anjuran Pusapanita Cawangan KPDNHEP di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiada asas kukuh untuk mengaitkan dakwaan kononnya bekalan telur tiba-tiba pulih selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Azman Mohd. Yusof berkata, dakwaan itu tiada asasnya kerana ketika ini ada beberapa negeri masih berdepan masalah bekalan telur.

Beliau berkata, pihaknya tidak nampak masalah bekalan telur tidak mencukupi kerana kerajaan sudah memberi subsidi kepada peladang dan pengusaha bagi telur gred a, b dan c.

“Saya difahamkan, pengusaha di peringkat ladang ada membangkitkan isu kos pengeluaran yang semakin meningkat, namun ia sudah diseimbangkan dengan agihan subsidi,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Katanya, pihaknya sentiasa berunding dengan pengusaha telur dan tidak menutup pintu kepada sebarang perbincangan.

Azman juga menjelaskan, kekurangan bekalan telur juga berlaku disebabkan beberapa faktor bukan hanya disebabkan kenaikan kos pengeluaran sahaja.

Menurutnya, faktor lain perlu diambil kira termasuk keadaan alam sekitar, cuaca tidak menentu dan penyakit yang mendorong kepada masalah bekalan.

Sebelum ini, pengguna mendakwa bekalan telur di pasaran sudah kembali pulih apabila berlaku lambakan telur di beberapa pasar raya dan pasar raya mini.

Berhubung dakwaan kononnya ada telur busuk dan rosak dijual di pasaran, Azman berkata, beliau turut menerima aduan sama, namun selepas diperiksa tiada pun bukti diperoleh. 

“Bagaimanapun, jika benar ada dakwaan berkaitan kami akan mengambil tindakan segera berdasarkan peruntukan peraturan dan undang-undang sedia ada,” katanya.

Susulan kenaikan harga telur di pasaran pula, Azman berkata, beliau mahu pengguna melaporkan segera kepada penguat kuasa jika benar dakwaan itu memandangkan telur bagi gred a, b dan c di pasaran terikat pada harga kawalan.

Justeru, Azman turut mengingatkan kepada pengguna supaya melaporkan aduan secara terperinci dan spesifik supaya tindakan segera boleh diambil.

“Boleh buat aduan, seberapa banyak pun boleh tetapi kena spesifik kerana kami tidak mempunyai kekuatan untuk memeriksa seluruh kedai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya