Drama bersiri yang bermula sejak 2016 itu memaparkan pemerintahan awal mendiang yang menaiki takhta pada usia 25 tahun selepas kemangkatan ayahandanya, Raja George VI.
Siri baharu drama berkisarkan kehidupan diraja di United Kingdom mula disiarkan awal bulan lalu melibatkan barisan pelakon seperti Imelda Staunton yang memegang watak Ratu Elizabeth II.
Siri itu turut dibintangi Jonathan Pryce (Putera Philip); Elizabeth Debicki (Puteri Diana); Dominic West (Putera Charles); Lesley Manville (Puteri Margaret); Olivia Williams (Camilla Parker Bowles) dan ramai lagi.
Siri kelima memaparkan tahun penuh cabaran buat Ratu Elizabeth yang memimpin monarki Britain sejak 1952, termasuk menangani isu dalaman yang turut membabitkan perceraian Putera Charles dan Puteri Diana.
Pelbagai peristiwa penting berlaku di Istana Windsor disiarkan dalam siri 10 episod itu.
HUBUNGAN DIANA DENGAN MOHAMED ALFAYED
Keseluruhan episod kali ini membawa penonton kembali menyingkap sejarah bagaimana hubungan perniagaan Mohamed Al-Fayed dan anaknya, Dodi al-Fayed bermula dengan keluarga diraja Britain.
Antara peristiwa penting menunjukkan Diana bertemu Mohamed dipaparkan pada episod ketiga.
SKANDAL ‘TAMPONGATE’ PUTERA CHARLES DAN CAMILLA
Pada 1993, transkrip perbualan telefon antara Putera Charles dan Camilla Parker Bowles yang kini bergelar Ratu Consort mula tersebar.
Drama bersiri ini menunjukkan bagaimana Charles dan Camilla berdepan gangguan apabila diburu jurugambar.
PUTERA CHARLES MENGAKU JALIN SKANDAL
Menerusi temu ramah di televisyen, Charles mengaku menjalin hubungan dengan Camilla pada 1994 dan peristiwa yang menggemparkan itu turut digambarkan semula dalam drama ini.
TEMU BUAL PUTERI DIANA
The Crown turut membongkar latar belakang di sebalik wawancara bersama Puteri Diana yang dikatakan dimanipulasi oleh wartawan, Martin Bashir.
Episod kelapan rancangan itu menyaksikan hos rancangan, Bashir dan krunya menyelinap masuk ke apartmen Diana di Istana Kensington berhubung perbualan kontroversi itu.
Temu bual menggemparkan itu menunjukkan Puteri Diana secara naif mengaku, ‘ada tiga orang dalam perkahwinannya’ dan dirinya ‘berkahwin dengan sebuah sistem’.
Kebanyakan episod dalam musim kelima adalah mengenai Ratu Elizabeth yang bergelut untuk kekal relevan semasa era moden di Britain.
Terdapat peristiwa penting yang menggoncang kehidupan mendiang ratu dan insiden kebakaran di Istana Windsor juga dipaparkan.