POKOK SENA: Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya menyifatkan kemenangannya di Parlimen Pokok Sena dengan menumpaskan Datuk Mahfuz Omar adalah satu keajaiban pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), semalam.
Meskipun digelar sebagai ‘giant killer’, Ketua Dewan Ulama Pas Pusat itu menganggap kemenangan tersebut adalah petanda kepada gelombang kebangkitan rakyat yang menginginkan perubahan di kawasan itu dan seluruh negara.
“Kami memang jangka boleh menang tetapi bukan dengan satu jumlah majoriti yang begini besar, ini suatu yang ajaib. Bagi kami sendiri pun sebenarnya tidak dapat mengesan akan berlaku satu gelombang rakyat seperti ini.
“Saya melihat sebenarnya ini adalah satu isyarat daripada rakyat yang meletakkan harapan yang sangat tinggi kepada Perikatan Nasional (PN) untuk buat yang terbaik,” katanya ketika ditemui, semalam.
Keputusan PRU15 Pokok Sena yang diumumkan semalam menyaksikan Ahmad memperoleh 52,275 undi dengan majoriti 31,751 sekali gus menewaskan Mahfuz (Pakatan Harapan) yang mendapat 20,524 undi.
Calon Barisan Nasional (BN), Noran Zamani Jamaluddin pula memperoleh 14,523 undi manakala calon Warisan, Noraini Md. Salleh hilang deposit apabila hanya mendapat 622 undi.
Mahfuz disifatkan calon ‘heavyweight’ apabila menjadi Ahli Parlimen Pokok Sena pada 1999 sebelum menang semula kerusi itu atas tiket Pas pada PRU12 dan PRU13, sebelum mempertahan kerusi itu buat kali keempat pada PRU14 di bawah PH.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu sebelum ini menang dengan majoriti 5,558 undi pada PRU14 setelah menewaskan calon Pas yang juga lagenda bola sepak, Radhi Mat Din serta seorang calon BN, Datuk Said Ali Syed Rastan.
Ahmad tidak menolak kemungkinan kemenangan PN di banyak kawasan itu ekoran faktor pengundi muda yang disifatkan sebagai tsunami TikTok.
“Ada pihak yang menganggap ini tsunami TikTok dalam kalangan anak-anak muda luar biasa bagi kita. Rupa-rupanya ada gelombang yang kita tak sedar, ia macam kepala air yang tahu-tahu terjun.
“Kita rasa keajaibannya adalah kesatuan hati anak-anak muda ini. Nampak mereka tenang sahaja dan tak nyatakan pendirian daripada awal tapi bila dia buat keputusan, maksudnya dia memberi isyarat yang sangat penting kepada orang politik,” katanya. – UTUSAN