HULU TERENGGANU: UMNO Bahagian Hulu Terengganu bermuhasabah dan berusaha perbaiki segala kelemahan setelah tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), semalam.
Ketuanya yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, walaupun kekalahan diterima amat pahit, tidak bermakna BN tidak boleh kembali bangkit di masa depan.
“Kita akan bermuhasabah serta perbaiki segala kelemahan dan yang penting rapatkan saf. Terima kasih kepada jentera kepemimpinan BN yang bekerja kuat sepanjang berkempen, diharap kekalahan ini tidak mematahkan semangat kita semua.
“Pengundi Parlimen Hulu Terengganu telah memilih. Saya menghormati dan reda di atas keputusan ini.
“Tahniah kepada (calon Perikatan Nasional), Datuk Rosol Wahid dan didoakan beliau amenjalankan tugas dengan baik serta cemerlang, demi masa depan rakyat Hulu Terengganu yang tercinta.” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.
Rozi yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, memohon maaf kepada semua pihak di atas kelemahan serta kekurangan sepanjang berlangsungnya kempen PRU15.
Keputusan PRU15 menyaksikan Rosol memenangi kerusi Parlimen Hulu Terengganu dengan peroleh 42,910 undi manakala Rozi mendapat 27,176 undi.
Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH), Alias Ismail mendapat 1,740 undi dan calon Pejuang, Mohd. Khadri Abdullah pula 182 undi. – UTUSAN