PETALING JAYA: Rakyat telah membuat keputusan untuk memilih wakil mereka, maka terserah kepada wakil rakyat untuk mencari penyelesaian bagi mengurai kemelut yang membelenggu ketika ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru seluruh seluruh rakyat dan semua pihak untuk terus beristiqamah dan bertenang sehingga proses untuk membentuk kerajaan baharu selesai.
“Sesungguhnya, masa depan negara tumpahnya darah kita adalah terlalu berharga dan wajar kita rencanakan dengan penuh cermat serta teliti. Rakyat telahpun membuat keputusan untuk memilih wakil mereka. Maka, terserah kepada wakil rakyat untuk mencari penyelesaian bagi mengurai kemelut yang membelenggu rakyat jelata.
“Seri Paduka mengajak seluruh rakyat untuk bersama mendoakan kesejahteraan negara yang tercinta ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN