MARANG: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru semua pemimpin politik dan pengundi menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan berlapang dada dan tenang pada malam ini.
Menurut beliau, rakyat perlu bersikap matang dan tidak mencetuskan sebarang provokasi atau kekecohan selepas pengumuman keputusan yang akan dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Kita manfaatkan amalan demokrasi dengan cara yang beradab dan bersopan. Alhamdulillah saya dapati setakat ini (sepanjang kempen) tidak berlaku perkara yang tidak diingini di seluruh negara.
“Ini satu keadaan yang baik, yang tenang. Kita harap suasana yang tenang dan aman ini berterusan walau apapun keputusan pilihan raya,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila, di sini hari ini.
Selain itu, Abdul Hadi yang juga calon Pas Parlimen Marang berkata, pengundi di seluruh negara juga diminta tidak ketinggalan menunaikan tanggungjawab tersebut sebagai rakyat Malaysia.
“Saya menyeru kepada pengundi Islam, pengundi muda untuk keluar mengundi. Kita manfaatkan amalan demokrasi kerana kita tak boleh ketinggalan dalam masalah (perkara) ini,” katanya. – UTUSAN