KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu meningkatkan promosi menarik kedatangan pelancong asing dengan menyertai Pameran Pelancongan Antarabangsa (WTM) di London bermula semalam hingga esok.
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria berkata, program WTM tersebut membuka peluang dalam usaha merancakkan semula sektor pelancongan negeri selepas pandemik Covid-19.
Menurut beliau, penyertai dalam WTM itu merupakan salah satu usaha mempromosi produk pelancongan Terengganu bagi menarik kehadiran pelancong antarabangsa terutama dari Eropah.
“Sebagai antara program pemeran utama dunia, WTM adalah platform terbaik untuk meluaskan rangkaian hebahan produk serta perkhidmatan pelancongan yang terdapat di Terengganu.
“Turut bersama adalah pemain industri tempatan yang berpeluang membuat promosi secara dua hala bersama penggiat pelancongan Eropah sekali gus boleh menarik pelancong benua terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, Terengganu turut melancarkan pakej pelancongan ‘Beautiful Terengganu’ serendah RM785 kepada pengunjung WTM meliputi pakej percutian lima hari empat malam di lokasi terkenal negeri ini.
“Dengan segmentasi pulau, pantai dan alam semulajadi, kami yakin Terengganu dapat memenuhi selera dan menjadi pilihan pelancong asing,” ujarnya.
Fadli menambah, seramai 1.19 juta pelancong Eropah direkodkan tiba di negara ini pada 2019 iaitu peningkatan berbanding 1.18 juta orang pada tahun sebelumnya.
Katanya, jumlah itu menunjukkan tanda positif sebelum sektor pelancongan teruk terjejas dengan penularan Covid-19 selama lebih dua tahun sejak 2020 sehingga tahun ini.
“Pada 2019 juga, hampir 70,000 orang pengembara dari Eropah bercuti di pulau-pulau peranginan antaranya Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Lang Tengah,” katanya.-UTUSAN