KUALA SELANGOR: Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz tidak sesuai untuk menjadi wakil rakyat.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana banyak perkara yang Tengku Zafrul tidak memihak kepada rakyat.
“Contoh mengenai isu kejatuhan mata wang ringgit Malaysia (RM), apa yang Tengku Zafrul jawab mengenai isu ini, beliau cakap ini adalah normal akibat kejatuhan ekonomi dunia.
“Untuk pengetahuan semasa saya menjadi Menteri Kewangan, kalau mata wang negara jatuh, saya akan terus buat mesyuarat tergempar untuk ketahui kenapa mata wang jatuh.
“Saya buat macam itu kerana tak nak rakyat terkesan akibat kejatuhan nilai RM,” katanya dalam program minum petang bersama rakyat di Kampung Bukit Badong, di sini hari ini.
Selain itu menurutnya, pihaknya beberapa kali memberi tekanan kepada Tengku Zafrul supaya membuat beberapa keputusan tertentu yang berpihak kepada rakyat.
Oleh demikian, Anwar melihat bekas Menteri Kewangan itu tidak sesuai dipilih oleh rakyat Kuala Selangor untuk menjadi ahli Parlimen mereka.
“Malah, beliau tidak tahu sangat masalah yang ada di Kuala Selangor, berbanding (Datuk Seri Dr.) Dzulkefly Ahmad.
“Jadi saya pengundi Kuala Selangor akan mengundi Dr. Dzulkefly semula menjadi Ahli Parlimen di sini. Menangkan Dr. Dzulkefly dengan undian majoriti yang lebih besar,” kata Presiden PKR itu. – UTUSAN