KUALA SELANGOR: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menawarkan empat teras utama inisiatif membantu rakyat sekiranya memenangi kerusi Parlimen Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menteri Kewangan itu berkata, inisiatif kepada semua kelompok terutama golongan B40 dan M40 put memfokuskan empat teras meliputi infrastruktur dan pengangkutan awam selain kebajikan, kemasyarakatan dan peningkatan mutu kehidupan.
“Selain itu, saya mahu menumpukan kepada pekerjaan dan perniagaan serta pendidikan dan peningkatan kemahiran,” katanya ketika ditemui selepas meninjau gerai peniaga di Pantai Remis di sini, hari ini.
Tengku Zafrul memberitahu, teras itu merangkumi 50 cadangan inisiatif yang ditawarkan kepada rakyat daerah ini selepas melakukan banyak sesi turun padang dan mendengar sendiri lebih 50 isu tempatan di kawasan parlimen ini.
“Justeru, saya mahu membantu menyelesaikannya jika diberi mandat menjadi wakil rakyat,” ujarnya yang turut memberitahu kesemua inisiatif dalam bentuk risalah itu akan dimuat naik di media sosial dalam tempoh terdekat.
Dalam pada itu, beliau mengharapkan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) memperhebat usaha penambaikan beberapa kemudahan asas di Pantai Remis yang menjadi lokasi tumpuan pengunjung.
“Kemudahan seperti lampu jalan, air bersih, tandas dan ruang niaga berbumbung perlu dinaik taraf bagi keselesaan pengunjung. Semua prasana itu dilihat belum lengkap sedangkan kawasan pantai itu menerima limpahan pengunjung luar biasa terutama pada waktu cuti,” katanya. – UTUSAN