KOTA BHARU: Calon Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mempertahan kerusi Parlimen Kota Bharu memilih keluar awal untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini.
Beliau yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli tiba seawal pukul 7.48 pagi di Maktab Sultan Ismail di sini untuk mengundi.
Takiyuddin sempat beramah mesra dengan pengundi yang datang awal untuk menjalankan tanggungjawab pada negara.
Pada PRU15 Takiyuddin, akan berdepan saingan daripada Datuk Seri Rosmadi Ismail (Barisan Nasional), Dr. Hafidzah Mustaqim (Pakatan Harapan), Prof. Datuk Dr. Che Musa Che Omar (GTA), Andy Tan (PRM) dan Bebas, Izat Bukhari Ismail Bukhari.
PRU14 lalu, Takiyuddin menang dengan majoriti 5,869 undi menewaskan BN dan PKR. – UTUSAN