Tak tahu tiada pengundian di Parlimen Padang Serai - Utusan Malaysia

Tak tahu tiada pengundian di Parlimen Padang Serai

JALIL Nordin (kiri) memberi penerangan kepada Asiah Salleh yang hadir untuk mengundi walaupun tiada pengundian bagi Parlimen Padang Serai di SK Keladi, Kulim. -UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Beberapa pengundi dalam kawasan Parlimen Padang Serai yang hadir ke pusat mengundi untuk menjalankan tanggungjawab mereka hampa apabila dimaklumkan oleh pengawal keselamatan bahawa proses pengundian di situ ditangguhkan.

Tinjauan di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Keladi dan SK Seri Limau, di sini mendapati, terdapat pengundi yang masih belum tahu pengundian berkenaan ditangguhkan ke 7 Disember ini susulan kematian salah seorang calon.

Asiah Salleh, 68, dari Kampung Pondok Labu, Keladi di sini, berkata, dia hadir ke pusat pengundian SK Keladi kira-kira pukul 9 pagi ini.

“Saya bangun awal untuk persiapan mengundi, bagaimanapun apabila tiba di hadapan pintu masuk seorang pengawal keselamatan memaklumkan kawasan Padang Serai tiada pengundian pada hari ini.

“Saya memang jarang tengok televisyen dan kurang mahir menggunakan telefon bimbit, mungkin sebab itu saya tidak tahu pengundian Parlimen Padang Serai ditangguhkan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan proses pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang  Serai tidak akan diadakan hari ini dan dijadualkan semula pada 7 Disember ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Khas suruhanjaya itu selepas menerima Writ Pilihan Raya yang dikembalikan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya itu berikutan kematian calon Pakatan Harapan (PH), mendiang M. Karupaiya pada 16 November lalu.

Sementara itu, pengawal keselamatan SK Keladi, Jalil Nordin, 36, memaklumkan, sejak pukul 8 pagi ini terdapat beberapa pengundi yang datang untuk membuang undi di sekolah berkenaan.

Katanya, kira-kira 10 orang hadir ke sekolah itu termasuk mereka yang pulang dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan kawasan sekitar Kulim untuk mengundi.

“Saya bersama rakan setugas terpaksa menjelaskan situasi sebenar pengundian hari ini sudah ditangguhkan ke bulan hadapan,” katanya.

Sementara itu di pusat mengundi SK Seri Limau, seorang warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Wong pula memaklumkan dia tahu tiada pengundian untuk Parlimen Padang Serai, namun mahu mengundi untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas.

Bagaimanapun, tiada pengundian di peringkat DUN Kedah pada PRU15 memandangkan kerajaan negeri belum membubarkan Dewan Negeri sehingga kini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya