KANGAR: Perikatan Nasional (PN) menang besar lebih dua pertiga di Perlis apabila menguasai 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus menamatkan penguasaan Barisan Nasional (BN).
Menurut keputusan tidak rasmi, BN tidak memenangi walaupun satu kerusi termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man mengalami kekalahan di Bintong.
Pakatan Harapan (PH) pula mendapat satu kerusi DUN iaitu Indera Kayangan.
Keputusan tersebut adalah kekalahan terburuk BN di Perlis dan kali pertama dalam sejarah parti itu hilang kuasa di negeri ini.
Di peringkat Parlimen, PN juga menyapu bersih kesemua tiga Parlimen iaitu Arau, Kangar dan Padang Besar
Perlis sebelum ini adalah salah satu daripada kubu kuat BN selain Pahang yang dipertahan ketika gelombang Pakatan Harapan (PH) pada 2018. – UTUSAN