NIBONG TEBAL: Calon muka baharu dari Pakatan Harapan (PH) Fadhlina Sidek berjaya menawan Parlimen Nibong Tebal apabila menewaskan penyandang terdahulu untuk dua penggal berturut-turut Datuk Mansor Othman daripada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
Fadhlina yang merupakan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperoleh undi sebanyak 42,188 selepas kesemua peti undi dikira malam ini sekali gus mengalahkan Mansor yang mendapat sebanyak 25,895 undi dengan majoriti sebanyak 16,293.
Calon muka baharu dari Barisan Nasional (BN) pula, Datuk Seri R S Thanenthiran memperoleh sebanyak 10,660 undi, manakala calon Bebas, Goh Kheng Huat sekadar memperoleh 565 undi.
Sementara itu, Fadhlina tiba di tempat penjumlahan undi di sini pukul 9.40 malam tampil manis berbaju kurung moden rona biru muda diiringi suami, Mohd. Fadzli Arsad kelihatan ceria sambil menyapa petugas media yang membuat liputan di situ.
Parlimen Nibong Tebal menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon PH, PN, BN dan Bebas dengan jumlah bilangan pengundi berdaftar sebanyak 100,130 orang. – UTUSAN