‘Tak pertahan DUN Bakar Arang jika menang Alor Setar’ 

‘Tak pertahan DUN Bakar Arang jika menang Alor Setar’ 

SIMON Ooi Tze Min mengedar risalah berkaitan kempennya kepada penduduk sekitar Parlimen Alor Setar di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Alor Setar, Simon Ooi Tze Min menegaskan tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Arang yang disandangnya jika menang di Alor Setar.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Kedah itu berkata, beliau membuat keputusan itu kerana mahu memberi peluang kepada muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun depan.

“Dua penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), saya memberi tumpuan penuh kepada pembangunan komuniti, menjaga kebajikan golongan yang tidak berkemampuan dan menyelesaikan aduan setempat,” katanya ketika sesi bersama media di Pejabat PKR Alor Setar.

Sementara itu, Simon berkata, walaupun bukan orang tempatan di Alor Setar, namun beliau mempunyai visi yang luas untuk ditawarkan kepada para pengundinya.

“Saya masih orang Kedah. Pengundi boleh menilai dengan melihat kerja dilakukan saya sebagai ADUN Bakar Arang. Lagipun andai terpilih sebagai wakil rakyat di kawasan ini saya akan menetap di sini bagi memudahkan khidmat kepada rakyat,” katanya.

Beliau yang menghadapi pertembungan tujuh penjuru di kawasan itu bagaimanapun tidak menafikan akan menghadapi saingan hebat daripada calon-calon lain.

“Saya rasa masih perlu bekerja kuat walaupun melihat momentum sokongan pengundi semakin bertambah (kepada PH). Saya berikrar untuk selesai semua masalah yang timbul di kawasan ini termasuk membaik pulih flat lama, mempopularkan sektor pelancongan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan terutama kepada anak muda,” katanya.

Parlimen Alor Setar menyaksikan pertembungan tujuh penjuru melibatkan PH, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Warisan dan dua calon bebas.

Selain Simon, turut berentap di kawsasan itu ialah calon PN daripada Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden; Datuk Mohamad Nuhairi Rahmat (Pejuang); Datuk Fadzil Hanafi (Warisan) dan Tan Chee Hiong (BN) serta dua calon bebas iaitu Datuk Nordin Yunus dan Sofan Feroza Md. Yusup.

Pada PRU14, Parlimen Alor Setar dimenangi oleh Chan Ming Kai daripada PKR setelah mengalahkan calon BN, Yoo Wei How dan Aminur Shafiq daripada Pas dengan majoriti 15,200 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya