MUKADIMAH
USIANYA baru mencecah 26 tahun, namun calon kerusi Parlimen Kepala Batas daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ini sememangnya menyimpan impian yang sangat besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Meskipun tidak diletakkan sebarang harapan untuk menang, Muhammad Danial Abdul Majeed yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) percaya beliau mampu mencipta kejutan dengan mendominasi undi di kawasan yang sememangnya dikenali sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak berpuluh tahun yang lalu itu.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, ISWAN SHAFIQ ISA, jurutera muda itu berkongsi mengenai misi dan visinya untuk mengubah Kepala Batas menjadi satu kawasan yang seimbang pembangunannya mengikut ‘acuan’ baharu.
UTUSAN: Setakat ini, sudah berapa peratus kawasan Kepala Batas sudah anda masuk untuk berkempen?
MUHAMMAD DANIAL: Ketiga-tiga DUN (kawasan Dewan Undangan Negeri di Kepala Batas iaitu Pinang Tunggal, Bertam dan Penaga) saya sudah pergi, tapi bukan semua tempat, mungkin antara 30 hingga 40 peratus setakat ini. Saya akan teruskan (turun padang) untuk berjumpa seberapa ramai pengundi hingga ke hari terakhir kempen nanti.
UTUSAN: Bagaimana perjalanan kempen pilihan raya anda ketika ini?
Fokus utama saya iaitu di kawasan yang agak terpencil seperti di sekitar Kampung Paya Keladi, saya terkejut kerana penerimaan orang ramai terhadap perubahan itu sangat hebat. Apa yang mereka kata ialah selama ini mereka tidak nampak perubahan itu dan akan bagi peluang kepada orang muda seperti saya.
UTUSAN:Anda antara calon PRU15 yang paling awal memulakan gerak kerja iaitu sebelum proses penamaan calon lagi. Apakah ini strategi tertentu?
Gerak kerja awal inilah yang menunjukkan kesungguhan kami untuk memberitahu rakyat dan pengundi di Kepala Batas bahawa kami memang mahu bawa perubahan dan bukan (bekerja sambil lewa. Kalau bab duit, kami kalah. Kami tak ada bendera atau gegantung (banner) yang besar-besar. Bagi kami, daripada pasang banner’, billboard dan sebagainya, lebih baik guna (duit) untuk rakyat.
Jadi, kami turun ke kampung-kampung jumpa pengundi untuk tahu apa yang mereka mahu sebab bagi saya, kita tak boleh design (reka) manifesto ‘syok’ sendiri. Sebab itulah gerak kerja kami lebih awal iaitu sebelum penamaan calon
UTUSAN: Pada peringkat awal termasuk sebelum proses penamaan calon, nama anda sudah terpalit dengan beberapa kontroversi. Bagaimana anda menangani isu itu.
Kontroversi seperti ini isu biasa dalam politik. Ini politik cara lama. Kalau mereka tidak suka seseorang calon itu, mulalah mereka mencari apa sahaja kesalahannya. Sebab itulah, hal-hal kontroversi ini saya tidak mahu fokus sangat. Dalam tempoh dua minggu ini (berkempen), nak layan hal kontroversi atau rakyat? Bagi saya, hal rakyatlah lebih penting.
UTUSAN: Parti Muda mungkin kurang diberikan perhatian berbanding parti komponen lain dalam PH. Apa pandangan anda?
Ya, parti kami baru ‘setahun jagung’. Kalau nak diikutkan, belum sampai setahun lagi sebenarnya (didaftarkan Disember lalu). Tapi, kami tidak gentar. Alhamdulillah, PH juga menerima Muda kerana perjuangan kami sama. –UTUSAN