Tak gentar berdepan Shahidan, Rozabil laksanakan tugas parti - Utusan Malaysia

Tak gentar berdepan Shahidan, Rozabil laksanakan tugas parti

ROZABIL Abd. Rahman (dua dari kanan) memeriksa borang pencalonan semasa proses penamaan calon Parlimen Arau di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Rozabil Abd. Rahman tidak gentar dan bersedia berdepan Datuk Seri Shahidan Kassim di Parlimen Arau di sebalik pemimpin itu dikatakan masih mempunyai pengaruh yang kuat di kawasan berkenaan.

Rozabil berkata, demi melaksanakan tugas kepada parti, beliau sedia melawan Shahidan yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dan yakin memperoleh kejayaan.

Bagaimanapun katanya, hubungan beliau dengan Shahidan tetap baik dan beliau menghormati Shahidan sebagai bekas pemimpin UMNO Bahagian Arau.

“Apabila Shahidan pergi ke parti lain sudah tentu akan dikenakan tindakan tatatertib parti. Serah pada pucuk pimpinan UMNO pusat, kita tak campur tangan.

“Tak gentar (berdepan Shahidan) bersedia untuk lawan untuk melaksanakan tugas kepada parti. Kita akan peroleh kejayaan dengan semangat yang kita ada setakat ini, saingan mencabar keyakinan tetap tinggi,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon Parlimen Arau di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin di sini hari ini.

Parlimen Arau yang merupakan antara kerusi panas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Shahidan, Rozabil dan calon muda dari Pakatan Harapan (PH), Fathin Amelina Fazlie, 28.

Dalam PRU14, Shahidan memenangi kerusi Parlimen berkenaan atas tiket BN dengan majoriti 4,856 undi mengatasi calon Pas, Hashim Jasin dan Abd. Rahman Daud dari PKR.

Sementara itu, Rozabil berkata, gerak kerja telah bermula lebih awal dan mereka akan pergi dari rumah ke rumah mendekati pengundi.

Selain itu katanya, peranan media sosial juga penting dalam menarik sokongan anak muda yang agak ramai di kawasan berkenaan.

“Seperti mana saya pernah sebut sebelum ini, kita serah kepada pengundi, pendekatan kami saya dan Datuk Ismail Kassim telah bersetuju untuk mendekati seramai mungkin pengundi di Parlimen Arau, kita akan merayu undi kepada BN tanpa merendah-rendahkan mana-mana calon,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya