Syed Ibrahim janji atasi masalah banjir di Kampung Tengah 

Syed Ibrahim janji atasi masalah banjir di Kampung Tengah 

SYED Ibrahim Kader ketika bersarapan pagi bersama jentera BN PDM Batu 13 di Kampung Tengah, Puchong, Selangor. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Puchong, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berjanji untuk mengatasi masalah banjir yang sering melanda Kampung Tengah di sini sekiranya beliau diberi mandat pengundi di sini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Presiden Parti Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) itu berkata, berbagai keluh kesah didengar daripada penduduk di kawasan berkenaan yang sudah penat dan terpaksa berhabis wang ringgit setiap kali kediaman mereka ditenggelami banjir.

“Saya ambil maklum mengenai masalah (banjir) yang melanda Kampung Tengah, mereka cerita semula keadaan ketika banjir melanda ada yang sehingga melebihi paras tingkap.

“Kalau dipilih nanti, saya akan utamakan isu (banjir) ini kerana ia merupakan masalah yang berulang dan kerap berlaku. Kita cuba cari jalan penyelesaian kepada masalah ini, apa yang kita kena buat dan elakkan supaya perkara sama tidak terus berlaku pada masa akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas bersarapan pagi bersama jentera BN PDM Batu 13 di Kampung Tengah di sini hari ini.

Selepas dilanda banjir besar pada Disember 2021 sehingga menenggelamkan banyak rumah, penduduk Kampung Tengah sekali lagi berhadapan dengan musibah tersebut pada bulan Mac lalu. 

Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata, selain isu banjir, beliau juga akan memberi tumpuan terhadap masalah kekangan fasiliti yang dihadapi oleh para peniaga di Pasar Pagi Batu 14.

Menurutnya, peniaga di kawasan berkenaan dipindahkan ke tapak sementara itu sejak tahun 2008 dan sehingga kini masih tidak berjaya untuk mendapatkan tapak kekal.

“Mereka mengadu sejak tahun 2008 mereka dipindahkan dan ditempatkan di satu lokasi sementara tapi sudah 14 tahun masalah belum selesai.

“Mereka juga ada masalah kekurangan fasiliti selain tandas terlalu kotor. Itu suasana orang ramai terpaksa hadapi jika mereka berbelanja di situ, masalah ini pun sudah lama sangat dan kenapa tidak dibuat bangunan kekal?” soalnya.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Puchong dimenangi oleh Gobind Singh Deo dari DAP menang dengan majoriti 47,635 undi menewaskan Ang Chin Tat (BN-MCA) yang mendapat 12,794 undi dan Mohamad Rosharizan (Pas) dengan 10,255 undi.

Syed Ibrahim yang pernah menjadi Ahli Dewan Negara selama dua penggal itu bakal berdepan saingan empat penjuru menentang Yeo Bee Yin (PH), Kuan Chee Heng (Bebas) dan Chew Jyh Gang (PN). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya