KUALA SELANGOR: Seorang pengundi muda, Salam Ahmad Saiful Hayaz, 18, mengakui sukar membuat pilihan ketika mengundi kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini,
Menurutnya, dia berfikir lama sejak beberapa hari lalu sebelum memilih calon yang sesuai untuk berkhidmat di Kuala Selangor.
“Bagaimanapun, pada pagi ini saya membuat pilihan dan tawakal kepada Allah. Namun saya berharap membuat keputusan yang betul,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2, di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang lagi pengundi baru, Nur Farisha Elina, 20, berkata, dia bangun seawal pukul 5 pagi untuk pergi ke pusat pengundian tersebut seawal mungkin.
Menurutnya, beliau hadir bersama ibunya, Sabahirah Mat Desa, 52, ke sini seawal pukul 7.30 pagi.
“Saya datang ke sini pun sudah ramai orang, tapi proses nak buang undi sangat cepat. Saya selesai mengundi dalam pukul 8.15 pagi,” katanya yang tinggal di Puncak Alam. – UTUSAN