Sultanah Kelantan dahului senarai penerima anugerah

Sultanah Kelantan dahului senarai penerima anugerah

SULTANAH Nur Diana Petra Abdullah mengetuai senarai penerima sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan hari ini. - FOTO/IHSAN UNIT MEDIA PEJABAT SULTAN KELANTAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sultanah Kelantan Nur Diana Petra Abdullah mengetuai senarai 769 penerima darjah kebesaran bintang, pingat dan surat kepujian sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang Ke-53 hari ini. 

Pada majlis tersebut, baginda dikurniakan gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kelantan dan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati Al-Yunusi (DK). 

Sementara Yang Teramat Mulia Che Puan Mahkota Kelantan Sofie Louise Johansson Petra menerima darjah kebesaran Seri Paduka Mahkota Kelantan (SPMK) membawa kepada gelaran Datuk. 

Turut menerima gelaran sama ialah Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Qawi Ibni Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dari Brunei Darussalam.

Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra yang dikurniakan gelaran Tengku Bendahara Kelantan.

Sultan Muhammad V turut berkenan mengurniakan darjah Seri Paduka Jiwa Mahkota Kelantan (SJMK) yang membawa gelaran Datuk kepada Timbalan Mufti negeri, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad; Menteri Kewangan, Datuk Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. 

Turut menerima gelaran Datuk ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin yang dikurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK). 

Penerima tunggal bagi darjah Seri Paduka Jasa Mahkota Kelantan (SPJK) yang membawa kepada gelaran Datuk ialah mantan Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Zulkifli Omar. 

Seramai 12 penerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) yang membawa gelaran Datuk termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Izani Husin serta bekas Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah. 

Tujuh penerima Darjah Kebesaran Kesatria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (DPKK) termasuk Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Rashidin Hashimi Ab. Rashid; Pengarah Markas Tentera Darat Jabatan Arah Artileri, Brigedier Jeneral Datuk Zulmajdi Yunus dan Panglima Briged Ke-8 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Abu Hasan Assha’ari Kamis@Shaffiee. 

Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK), seramai 18 penerima menerima gelaran Datuk antaranya Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr. Abdul Haris Muhammad; bekas Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim. 

Dua penerima Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (DPJK) dan yang membawa gelaran Datuk dikurniakan kepada Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya