SPRM buka 8 kertas siasatan babitkan kakitangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang - Utusan Malaysia

SPRM buka 8 kertas siasatan babitkan kakitangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang

CHOW Kon Yeow dalam sidang DUN Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka lapan kertas siasatan melibatkan kakitangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sepanjang 2020 hingga tahun ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kertas siasatan tersebut adalah berkaitan dengan kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang terbuka bagi menerima sebarang siasatan berkaitan jenayah rasuah dan salah guna kuasa melibatkan kakitangan kerajaan negeri.

”Sepanjang tahun 2020 hingga 2022, SPRM telah membuka sebanyak lapan kertas siasatan terhadap individu-individu yang berkenaan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) menjawab soalan Mohd. Yusni Mat Piah (Pas- Penaga) berkenaan kes SPRM yang disiasat SPRM melibatkan Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kakitangan kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, sebarang bentuk kesalahan akan disiasat oleh agensi penguatkuasaan dan disabitkan kesalahan oleh pihak pendakwaan.

Katanya, bagi siasatan melibatkan kakitangan kerajaan negeri, pihak berkuasa tatatertib boleh mengambil tindakan di bawah Peraturan 44, Peraturan-Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atau Peraturan-Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pulau Pinang) 1997 bagi tujuan penahanan kerja sekiranya melibatkan prosiding jenayah.

Tambahnya, dalam tempoh penahanan kerja di bawah peraturan itu, seseorang pegawai berhak melainkan jika dan sehingga pegawai itu digantung kerja atau dibuang kerja untuk menerima tidak kurang daripada setengah emolumennya sebagaimana yang difikirkan patut oleh pihak berkuasa tatatertib yang berkenaan.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah dan akan mengambil tindakan terhadap semua laporan SPRM setelah laporan lengkap diterima berhubung salah laku itu sekiranya kes tersebut tidak disabitkan kesalahan di peringkat mahkamah.

“Kerajaan negeri tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan laporan SPRM.

“Namun, kita juga meminta SPRM supaya telus dalam menyatakan bilangan kes yang didakwa di mahkamah dan jumlah penjawat awam yang didapati bersalah bagi memastikan imej kerajaan negeri dan penjawat awam di Pulau Pinang tidak tercalar hanya disebabkan jumlah aduan yang diterima sejak tahun 2019,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya