MUAR: Perikatan Nasional (PN) berharap rakyat dapat memberi peluang kepada gabungan itu memimpin negara menerusi sokongan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN akan membawa politik stabil dan memberi kesejahteraan kepada rakyat pasca pandemik Covid-19.
“Saya berharap rakyat menzahirkan sokongan kepada semua calon PN. Beri kami peluang untuk membuktikan politik yang stabil dan aman.
“Esok (hari ini) kami akan lancarkan manifesto yang pastinya memberi kesejahteraan kepada rakyat, khususnya soal pemulihan ekonomi berikutan keadaan pandemik sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Pagoh di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Pagoh, dekat sini, semalam.
Pada pilihan raya kali ini, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri mempertahan kerusi Pagoh dan dicabar calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Razali Ibrahim serta calon Pakatan Harapan, Iskandar Shah Abd. Rahman.
Pada PRU14, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memenangi kerusi Pagoh dengan majoriti 6,927 undi.
Dalam pada itu, beliau meminta supaya pengundi keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mereka memilih pemimpin yang mereka inginkan.
“Ini kuasa rakyat, suara rakyat, kita harap ramai-ramai keluar mengundi pada hari mengundi nanti.
“Bagi pengundi muda yang pertama kali mengundi, jalankan tanggungjawab anda sebaik mungkin kerana ini peluang anda,” katanya. – UTUSAN