KUALA LUMPUR: Pengguguran penyandang Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa sebagai calon dibuat bagi mengelakkan kemudaratan kepada kemenangan Pakatan Harapan (PH) di kawasan tersebut.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana Ketua Cabang Sungai Buloh itu mengalami masalah kesihatan yang mungkin memberi kesan kepada PH dalam mempertahankan Parlimen berkenaan.
Bagaimanapun, beliau tidak menyalahkan mana-mana pihak yang mahu Sivarasa kekal bertanding kawasan terbabit di Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Sivarasa itu peguam saya dan kawan baik saya dan telah berkhidmat tiga penggal dan keadaan kesihatan…kita tengok juga ada isu, jadi apabila dia pergi (berkempen) dilihat dengan keuzuran beliau, itu akan mengesankan.
“Jadi saya sudah beri pertimbangan masalah itu dan kita boleh tonjolkan tokoh yang boleh mengalahkan Khairy Jamaluddin (calon Barisan Nasional),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku tulisan beliau bertajuk ‘Membangun Negara Madani’ di sebuah hotel di sini.
Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam satu sidang media hari ini mendedahkan, beliau mengesyorkan Sivarasa kekal mempertahankan kerusi disandangnya pada PRU15 ini.
Beliau berkata, jawatankuasa dalaman calon juga berpandangan sama seperti itu, dan bukannya meletakkan calon pendatang baru, Datuk R. Ramanan yang sebelum ini bersama MIC.
Ia susulan semalam media melaporkan, Anwar dilapor berkata, PH berkemungkinan tidak membuat sebarang perubahan calon selepas BN menamakan Khairy di Parlimen Sungai Buloh.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Khairy perlu menjawab pelbagai persoalan terutamanya atas kapasiti beliau sebaga Menteri Kesihatan sekiranya mahu melakar kemenangan di Sungai Buloh.
“Dia boleh (bertanding), tetapi kena jawab mengapa ubat vaksin tidak ada tender, mengapa kematian 36,000, mengapa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) paling lama yang memudaratkan hidup rakyat dan menyeksa rakyat serta mengapa tidak ada ketelusan berpuluh tahun dalam kes-kes dikaitkan dengan penyelewengan dan rasuah, itu hal yang harus dijawab,” jelasnya. –UTUSAN