KLANG: Sirius T&E Sdn. Bhd. (Sirius) yang memiliki kepakaran luas dalam industri satelit dan angkasa lepas menjalin bekerjasama dengan Syarikat Nusa Kapital Sdn. Bhd. (Nusa Kapital) bagi memulakan usaha modal teroka dengan suntikan dana pelaburan RM50 juta untuk syarikat pemula industri angkasa menerusi Dana Angkasa Malaysia (DAM22/23).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sirius, Khairuddin Abdul Rahman, industri angkasa yang dimaksudkan berdasarkan Akta 834 yang diluluskan baru-baru ini, melibatkan industri teknologi di ruang angkasa dengan ketinggian 100 kilometer dari Bumi.
“Pembiayaan untuk syarikat pemula akan diberi berdasarkan penilaian teknikal dan pelaksanaan pengurangan risiko perniagaan serta daya maju produk dan perkhidmatan.
“Teknologi angkasa yang kita kawal selia untuk syarikat pemula melibatkan angkasa lepas atau langit,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua pihak di Klang hari ini.
Beliau berkata, Nusa Kapital juga akan meningkatkan saiz dana mengikut permintaan pada masa depan.
Dalam pada itu, Khairuddin berkata, pihaknya juga akan melancarkan kempen keahlian untuk sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dipanggil Majlis Angkasa Malaysia (MAM) yang akan ditubuhkan tidak lama lagi.
“Pihak kami akan mengawal selia penyertaan ahli MAM dalam seminar, bengkel dan simposium di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi memperkasakan lagi industri angkasa dan kemajuan teknologinya,”katanya.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut disempurnakan oleh Khairuddin dan Pengerusi Nusa Kapital, Dr. Shahridan Faiez Mohideen Abdul Kadir disaksikan Pengarah Bahagian Penerokaan Angkasa Agensi Angkasa Malaysia, Kamaruzzaman Wahid.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai DAM22/23 orang ramai boleh melayari www.orion-sirius.com atau menghubungi Sirius di talian 0102206640. – UTUSAN