JOHOR BAHRU: Salah seorang individu yang menaikkan bendera Malaysia semasa hari kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957, Leftenan Komander (B) Mohamed Sharif Kalam, 86, bersyukur masih diberi kesihatan untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurutnya, tahun ini merupakan kali ke-14 dia menunaikan tanggungjawab selaku warganegara Malaysia, selepas kali pertama berbuat demikian pada PRU2 pada 1960.
Bagaimanapun beliau turut terlibat dalam PRU pertama pada 1955 sebagai petugas, kerana masih di bawah umur 21 tahun ketika itu.
“Alhamdulillah, saya dikurniakan dengan kesihatan yang baik walaupun sudah berusia 86 tahun, dan masih mampu untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia.
“Ini merupakan kali ke-14 saya mengundi dalam PRU, saya dapati suasana dan kaedah pengundian ketika itu dan sekarang tidak banyak perbezaan, sebaliknya semua berjalan dengan lancar.
“Saya juga tidak mahu terlepas walaupun satu peluang untuk mengundi kerana ini kewajipan saya,” katanya ketika ditemui selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pelangi, di sini hari ini.
Pesara tentera itu berharap semua rakyat tanpa mengira bangsa dan usia untuk sama-sama terlibat dalam proses demokrasi negara yang sedang berlangsung ketika ini.
“Sebagai rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi generasi muda, kita perlu pelajari sejarah dan libatkan diri dalam proses pengundian ini, itu tanggungjawab kita.
“Walaupun saya sudah berusia, namun sebagai seorang warganegara yang mempunyai semangat patriotik dan rasa cintakan negara, saya akan terus keluar mengundi sekiranya diizinkan,” katanya yang masih berupaya untuk memandu kenderaan sendiri ke tempat pengundian tersebut. – UTUSAN