ARAU: Memasuki pusingan kedua kempen, calon-calon Barisan Nasional (BN) terus mempergiatkan kempen dalam usaha mempertahankan kubu kuat BN di negeri ini di sebalik gelombang Datuk Seri Shahidan Kassim yang dikatakan mampu menggugat parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Malah, bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil turut turun padang berjumpa pemimpin-pemimpin wanita UMNO negeri selain meluangkan masa membantu kempen calon khususnya di kawasan ‘panas’ Parlimen Arau.
Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu hadir berucap di Bilik Gerakan BN Parlimen Arau di Tambun Tulang di sini yang merupakan kubu kuat Shahidan yang juga penyandang kerusi berkenaan semasa menjadi Menteri Besar dari 1995 hingga 2008.
Shahrizat ketika ditemui pemberita berkata, beliau melihat peluang untuk menang khususnya di Parlimen Arau ada dengan dibantu kekuatan jentera khususnya wanita yang cukup setia dengan parti berbanding individu.
Bagaimanapun katanya, semua pihak dinasihatkan tidak mengambil sikap sambil lewa sebaliknya harus terus bekerja keras menjelang beberapa hari PRU15.
“Pertama saya dan beberapa pemimpin wanita UMNO ini adalah orang parti dan semestinya kena turun membantu. Sebagai ‘kakak’ saya memberi semangat kepada calon-calon ini,” katanya.
Terdahulu ketika berucap, Shahrizat menyentuh mengenai kepentingan mengundi BN bagi mengekalkan kestabilan di negara ini.
“Insya-Allah di Perlis akan terus menjadi kubu kuat BN. Arau ini daripada dahulu kawasan mencabar banyak dugaan namun akhirnya BN akan menang juga.
“Masa tsunami politik pada PRU14, BN masih berjaya mengekalkan Perlis,” katanya.
Parlimen Arau bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan Datuk Rozabil Abd. Rahman (BN); Shahidan dan Fathin Amelina Fazlie (PH). – UTUSAN