Shahril Hamdan tetapkan lima KPI di Alor Gajah

Shahril Hamdan tetapkan lima KPI di Alor Gajah

SHAHRIL SUFIAN Hamdan bercakap kepada pemberita selepas Program Suara Hati Orang Muda Alor Gajah di Rembia, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Alor Gajah, Shahril Sufian Hamdan menetapkan lima petunjuk prestasi utama (KPI) sebagai manifesto bagi membolehkan masyarakat menilai prestasinya sebagai wakil rakyat, jika mendapat mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Naib Ketua Pemuda UMNO itu berkata, lima KPI tersebut boleh diukur dalam tempoh enam bulan, setahun, empat tahun dan lima tahun.

Beliau berkata, KPI berkenaan akan tertumpu kepada penyediaan peluang pekerjaan, peningkatan gaji penduduk, infrastruktur, kualiti pendidikan serta aspek kebudayaan dan adat resam.

“Saya mencadangkan lima KPI terletak di bahu saya. Yang pertama mampukah dalam tempoh menjadi Ahli Parlimen kita menambah peluang pekerjaan. Kedua mampukah saya menjadi Ahli Parlimen, kita meningkatkan pendapatan purata penduduk Alor Gajah.

“Ketiga, mampukah kita naik taraf infrastruktur, KPI keempat mampukah saya perkasakan akses dan kualiti pendidikan dan kelima mampukah saya menaikkan martabat kebudayaan serta adat semua lapisan masyarakat di Alor Gajah,” katanya kepada pemberita selepas Program Suara Hati Orang Muda Alor Gajah di Rembia, di sini malam ini.

Pada PRU15, Shahril yang juga Ketua Penerangan UMNO ditentang tiga lawan iaitu penyandang kerusi daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof; calon Pakatan Harapan (PH), Adly Zahari dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Muhammad Nazriq Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Shahril berkata, beliau turut bercadang melaksanakan sesi dialog awam setiap dua atau tiga bulan selepas bergelar Ahli Parlimen Alor Gajah kelak.

Jelasnya, dalam sesi tersebut akan dibentangkan perkara yang berjaya atau gagal dilakukannya serta membolehkan masyarakat berdialog secara langsung.

“Saya rasa ini adalah satu pembaharuan yang perlu dilaksanakan sebagai calon muda dalam satu kepemimpinan, kalau saya diberi peluang menang PRU15 ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya