ALOR GAJAH: Menempuh saat-saat getir berbaki kurang 24 jam sebelum hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), ayam tambatan Barisan Nasional (BN), Shahril Sufian Hamdan memilih untuk ‘melebihkan’ peranannya sebagai Ketua Penerangan UMNO berbanding calon di kerusi Parlimen Alor Gajah.
Tegas Shahril, pada pecutan terakhir dalam usaha memastikan BN memperoleh mandat menubuhkan Kerajaan Persekutuan, beliau melihat lebih keperluan menangkis tuduhan jahat dimainkan lawan, berbanding memfokuskan isu setempat ketika berkempen.
Jelasnya, BN kini dijadikan sasaran utama Pakatan Harapan (PH) termasuk Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA).
Katanya, apa yang pasti, lawan sedang berusaha sehabis boleh menyajikan taktik campaign of fear atau kempen menakut-nakutkan pengundi, dalam usaha mewujudkan perspektif serong jika BN menang.
“Ini kerja mereka yang masih lagi nak menghasut, nak menakut-nakutkan, kempen yang mereka mainkan adalah campaign of fear. Kempen menakutkan orang, bukan memberi harapan pada orang.
“Kurang-kurang buruk-buruk dia sebelum PRU14, dia beri juga harapan kepada orang walaupun dia menipu. Sekarang ini apa harapan yang dia bagi? Dia hanya bagi ketakutan, ‘kamu perlu takut kalau BN menang, kerana si polan bin si polan akan keluar dari penjara’.
“Ini saya nak ingatkan balik, orang yang lepas menang pemimpinnya keluar dari penjara, yang terbukti PH. Menang 9 Mei 2018 selang beberapa hari pemimpinnya keluar penjara. Kita tak rusuh, kita tak marah, kita tak persoalkan, kita terima kekalahan berjiwa besar, itu BN,” katanya ketika berucap pada Program ‘Alor Gajah, Izinkan Saya’ di Bilik Gerakan Cawangan Gangsa Selatan, Durian Tunggal di sini.
Tambah Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO, skim bantuan pendapatan asas yang terkandung dalam tawaran manifesto Perancangan Amal dan Usaha (PADU) BN, bukan ‘janji bulan bintang’ seperti pernah dibuat PH pada PRU14.
Beliau menegaskan, inisiatif itu adalah relevan ke arah penambahbaikan sistem bantuan kewangan terus kepada rakyat yang diperkenalkan kerajaan BN ketika era pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Jelasnya, mekanisme bantuan sedemikian yang dipelopori BN terbukti diterima dan diakui lawan apabila Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dijenama semula kepada Bantuan Sara Hidup (BSH) oleh PH, walaupun sebelum ini barisan kepemimpinan lawan melabelnya dengan panggilan ‘dedak’.
“Kalau sebelum ini BN adalah parti pertama memulakan bantuan kewangan terus kepada rakyat melalui BR1M. Kemudian walaupun dia cakap dedak, dia pun buat dedak basah (BSH) selama 22 bulan.
“Kemudian Tan Sri Muhyiddin Yassin ambil alih, dia buat Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), sekarang ini bawah Perdana Menteri BN, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) paling banyak dalam sejarah,” katanya. – UTUSAN