PETALING JAYA: Pemain profesional negara, Shahriffuddin Ariffin muncul juara PKNS Selangor Masters dan meraih wang berjumlah USD26,250.00.
Walaupun prestasinya pada hari terakhir kejohanan kurang memberangsangkan dengan catatan empat birdie, satu bogey dan satu double bogey untuk catatan 70 pukulan satu di bawah par, namun ia cukup untuk menobatkannya selaku juara apabila mengumpul 275 pukulan keseluruhan.
Shahriffuddin yang sebelum ini menjuarai PGM Maybank 2022 dan Kejohanan Golf KIA-PGM bagaimanapun gagal dikejar pemain dari Thailand, Denwit Boriboonsub selepas pemain itu hanya mampu mencatat 277, ketinggalan dua pukulan untuk muncul naib juara.
Seorang lagi pemain negara, Danny Chia terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dengan catatan 278 pukulan keseluruhan, ketinggalan tiga pukulan di belakang Shahriffuddin.
Kemenangan Shahriffuddin itu juga bakal melonjakkan kedudukannya dalam Order of Merit ADT daripada tangga ketujuh sebelum ini.
Hadiah disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang turut hadir menyaksikan hari terakhir kejohanan itu. – UTUSAN