PETALING JAYA: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menyaksikan empat artis bersaing untuk menjadi wakil rakyat di Parlimen pulang hampa apabila masing-masing tewas di kawasan bertanding masing-masing.
Bagaimanapun, Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando yang bertanding mewakili parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Parlimen Tanjong Karang boleh dikatakan paling cemerlang, berbanding selebriti lain dengan mendapat 3,557 undi.
Pengarah, Datuk Jurey Latiff yang bertanding atas tiket PKR di bawah Pakatan Harapan di Parlimen Lenggong tewas kepada calon Barisan Nasional apabila meraih 3,382 undi.
Dua lagi calon mewakili Pejuang iaitu Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang bertanding di Parlimen Port Dickson meraih 1,084 undi, manakala Datuk Seri Eizlan Yusof yang mencuba nasib di Parlimen Sabak Bernam hanya mampu mendapat 460 undi serta kehilangan wang deposit RM10,000.
Perkembangan itu membuktikan populariti yang dimiliki barisan selebriti ini langsung tidak mempengaruhi sentimen rakyat untuk mengundi mereka.
Semalam, Eizlan turut memaklumkan akan tetap bekerja untuk penduduk Sabak Bernam atas kapasiti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekiranya tewas di kerusi yang menyaksikan persaingan empat penjuru.