GUA MUSANG: Sebuah keluarga dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh di sini menjadikan ular sawa batik sebagai reptilia peliharaan sejak sembilan tahun lalu.
Kamarul Aiman Kamarudin, 25, berkata, keluarganya mula memelihara ular sawa yang diberi nama Miko itu ketika haiwan reptilia berkenaan baru sahaja menetas.
Menurutnya, selepas sembilan tahun membela reptilia itu semakin membesar dan beratnya sudah mencecah 100 kilogram dan panjangnya lebih 5 meter.
“Miko dibawa pulang ke rumah oleh bapa saudara selepas membelinya dengan harga RM150. Sejak itu kami mula sayangkan Miko dan menjaganya sepenuh kasih sayang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kamarul Aiman memberitahu, dia turut mendapat bantuan menjaga Miko daripada neneknya, Halimah Abdullah, 67, dan ibunya, Susilawati Mohd. Noor, 47.
Katanya, mereka menyediakan sangkar khas untuk menempatkan Miko di luar rumah dan hanya membawanya keluar jika orang ramai ingin melihatnya lebih dekat.
“Miko hanya berselera makan dua hingga tiga ekor ayam seberat enam kilogram setiap dua minggu sekali.
“Miko juga senang dijaga apabila kami membersihkannya ketika kotor dan sentiasa menjaga kebersihan kawasan tempat tinggalnya,” ujarnya.
Sementara itu, Halimah pula berkata, Miko sangat jinak dan tidak pernah berkelakuan agresif dengan ahli keluarga yang lain.
Katanya, rumahnya juga sering menjadi tumpuan penduduk kampung termasuklah kanak-kanak yang ingin melihat haiwan itu dengan lebih dekat.
“Miko sangat manja dan tidak pernah menimbulkan masalah sepanjang kami menjaganya.
“Selain memasang cip keselamatan pada badannya, kami juga mendapat permit sebagai pemilik daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya. —UTUSAN