PUTRAJAYA: “Saya tiba di saluran mengundi pukul 5.59 petang dan petugas maklumkan masih sempat untuk mengundi,” kata tukang emas, Muhammad Norhafiz Tajul Azahar, 29.
Muhammad Norhafiz menjadi individu terakhir mengundi di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(1), Presint 9, di sini.
Dia yang ditemui berkata, dia bertolak dari Taiping, Perak pukul 1 petang tadi dan terpaksa menempuh perjalanan selama enam jam berbanding tiga jam sebelum ini.
“Saya ingat tak sempat tiba di Putrajaya kerana jalan sesak hampir tiga jam dari Tapah ke Sungkai.
“Alhamdulillah, saya sempat tiba walaupun dalam keadaan kelam kabut,” katanya yang menetap di Presint 17, di sini.
Katanya, dia tidak menyangka pengalaman mengundi kali pertama penuh ‘drama’ dan mendebarkan. – UTUSAN