KUALA LUMPUR: Selepas beberapa jam disatukan, pasangan pengantin baharu dari Taman Muda di sini bergegas ke pusat mengundi bagi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Kehadiran Lee Choy Yoong, 30, dan suaminya, Jacky Har, 30, dengan diiringi 10 rakan itu menarik perhatian ramai sejurus selepas mereka tiba di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Muda kira-kira pukul 12 tengah hari.
Penganalisis kewangan itu anggun memakai gaun berwarna putih manakala suaminya mengenakan sut coklat.
Rata-rata pengundi turut mengucapkan tahniah ketika berselisih dengan pengantin.
Bagaimanapun, Choy Yoong mengundi bersendirian kerana suaminya yang merupakan anggota keselamatan sudah menunaikan tanggungjawab lebih awal pada Selasa lalu.
Katanya, pengalaman mengundi kali ini berbeza dengan kali pertama pada 2018 kerana kesibukan menguruskan perkahwinan.
“Tetapi saya lega kerana keluarga dan sanak saudara cukup memahami situasi kami yang terpaksa bergegas selepas selesai acara minum teh pagi tadi.
“Makan malam perkahwinan pada pukul 8 nanti tambah meriah apabila tetamu bukan sahaja meraikan penyatuan kami malah pembentukan kerajaan baharu Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Choy Yoong berkata, proses pengundian berjalan lancar di sebalik kesesakan orang ramai di pusat mengundi itu.
Katanya, seawal pukul 4.30 pagi lagi dia sudah bangun menguruskan persiapan terakhir di samping untuk bersolek.
“Tarikh 19 November ini cukup bermakna buat kami dan kami mendoakan Malaysia lebih makmur serta sejahtera dengan pembentukan kerajaan baharu,” katanya. – UTUSAN