ARAU : Selepas berpuluh tahun bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN), kehadiran Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai calon Perikatan Nasional (PN) paling mencuri tumpuan ramai di pusat penamaan calon di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin di sini pagi ini.
Shahidan tiba di pusat penamaan calon tersebut bersama calon PN di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) lain dalam Parlimen Arau kira-kira pukul 8.35 pagi diiringi para penyokong gabungan berkenaan.
Ketua UMNO Bahagian Arau itu menjadi tumpuan media apabila mengesahkan bertanding atas tiket PN selepas digugurkan sebagai calon BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) manakala pencabar Shahidan daripada BN, Datuk Rozabil Abd. Rahman bersama calon BN DUN lain serta penyokong tiba pada pukul 8.50 pagi.
Calon muda PH bagi Parlimen berkenaan, Fathin Amelina Fazlie,28, serta calon lain gabungan itu pula tiba pada pukul 8.30 pagi.
Calon dari Parti Warisan Sabah (Sabah) yang turut bertanding buat pertama kali di negeri ini dalam PRU15 tiba sekitar pukul 8.30 pagi.
Suasana di persekitaran pusat penamaan calon tersebut sebelum calon memasuki dewan meriah dengan para penyokong melaungkan nama calon parti-parti politik masing-masing.
Pada PRU-14, menyaksikan Shahidan memenangi kerusi Parlimen berkenaan atas tiket BN dengan majoriti 4,856 undi mengatasi calon Pas, Hashim Jasin dan Abd. Rahman Daud dari PKR.
Sebagai rekod, Shahidan yang sudah lebih 30 dalam tahun dalam politik menguasai Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum 1986,1990,2013 dan 2018 selain pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar dari 1995 hingga 2008. –UTUSAN