Sediakan pelan tangani banjir dalam kadar segera

Sediakan pelan tangani banjir dalam kadar segera

BANJIR yang melanda Taman Sri Nanding, Hulu Langat tahun lalu merosakkan banyak harta benda penduduk. - FOTO/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Pengundi Hulu Langat menggesa pemimpin yang bertanding di kerusi Parlimen tersebut agar menyediakan pelan perancangan menangani banjir dalam kadar segera.

Seorang pengundi di Parlimen itu yang ditemui Utusan Malaysia, Mohd. Fareez Ab. Aziz, 40, berkata, masalah banjir yang setiap tahun menimpa penduduk Kampung Dusun Nanding di Hulu Langat perlu dijadikan agenda utama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Berkongsi pengalaman lebih 30 tahun menetap di situ, Mohd. Fareez yang juga seorang pekerja swasta berkata, kawasan Nanding sering terjejas akibat banjir, yang kebiasaannya dinaiki air pada paras kira-kira satu kaki atau setinggi lutut, setiap tahun.

Namun katanya, banjir tahun lalu amat luar biasa kerana rumahnya dinaiki air sehingga paras siling rumah, sambil menyifatkan kejadian itu umpama malapetaka yang meninggalkan trauma mendalam terhadapnya serta ahli keluarga yang lain.

Justeru katanya, masalah itu perlu ditangani segera agar mengelakkan kejadian sama berulang, kerana ia bukan saja memusnahkan harta benda malah dikhuatiri merisikokan nyawa penduduk setempat.

“Sewaktu banjir pada hujung tahun lalu, air naik separas dengan siling rumah saya. Tiada apa yang tinggal untuk kami sekeluarga, habis semua barang perabot musnah. Cuma beberapa bingkai gambar saja yang masih melekat di dinding rumah saya.

“Pada waktu itu, air banjir menenggelamkan satu-satunya kenderaan saya, iaitu Perodua Myvi. Kereta itu ditenggelami air lebih 12 jam, habis rosak musnah.

“Jadi, saya dan penduduk lain di sini berharap sangat, supaya pemimpin yang mewakili kami nanti dapat memastikan pelan penyelesaian masalah banjir di sini dilaksanakan segera. Sampai bila lagi kami harus ditimpa masalah sama saban tahun?” soalnya.

Sementara itu, seorang pengundi Parlimen Hulu Langat yang enggan namanya disiarkan mendakwa, isu banjir di sini kerap berulang akibat beberapa kelemahan tatacara dan polisi pengurusan rizab sungai.

Kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tersebut berkata, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) perlu menggiatkan libat urus bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kerajaan Negeri Selangor serta penduduk tempatan bagi menyediakan pelan pengambilalihan tanah sepanjang kawasan sungai yang berisiko banjir sekitar Hulu Langat.

Kata sumber, akibat pembangunan pesat di kawasan Hulu Langat maka kawasan-kawasan bukit serta ladang sawit banyak yang ditarah bagi menampung aktiviti pembangunan.

“Bukit-bukit dan ladang sawit ditarah untuk tujuan pembangunan, namun sungai-sungai di Hulu Langat tak dibesarkan seiring dengan skala pembangunannya. Ada sungai yang lebar, tapi dasarnya pula cetek.

“Kemudian, masalah sistem pengairan jadi lagi serius apabila banyak kawasan laluan sungai yang berisiko ini melalui tanah milik individu. Jadi, pada pandangan saya, JPS kena ada bajet untuk pengambilalihan tanah-tanah pesisir sungai ini bagi dijadikan rizab sungai.

“Pada masa sama, bajet untuk projek tebatan banjir perlu disalurkan segera, dan pihak berkuasa harus meningkatkan daya efisien sistem tebatan tersebut,” kata sumber.

Justeru kata sumber, pemimpin di Parlimen Hulu Langat perlu menjadi jururunding berkesan di antara kementerian, agensi serta penduduk yang diwakilinya bagi melancarkan urusan pengambilalihan tanah persendirian bagi tujuan rizab sungai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya