'Saya takkan jadi macam Rina'

Saya takkan jadi macam Rina – Khalid Samad

SEBAHAGIAN orang ramai yang hadir dalam Ceramah Mega Harapan di Dataran PPR Laksamana, Titiwangsa, Kuala Lumpur, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Titiwangsa, Khalid Abdul Samad memberi jaminan beliau tidak akan menjadi seperti Datuk Seri Rina Harun yang pernah memenangi kerusi Parlimen berkenaan, namun didakwanya tidak menjalankan tugas dengan baik.

Katanya, kehadiran beliau bertanding di situ juga adalah bagi mencabar calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Abdul Ghani sekali gus mampu membuat pembaharuan di Parlimen Titiwangsa jika menang.

“Titiwangsa ini dianggap kerusi sukar menang walaupun sebelum ini Rina dah menang dan ada calon dari BN yang dianggap seorang yang bertapak dengan mantap dan kukuh. Maka dihantarnya saya dengan keyakinan warga Titiwangsa akan memahami bahawa saya takkan buat seperti mana Rina buat.

“PH inginkan seorang calon yang warga Titiwangsa percaya dia takkan lompat dan akan jaga kawasannya dengan baik. Jangan risau, saya tidak lompat. Dulu di bawah PH saya menteri dan bila PH dijatuhkan dan tubuhkan Perikatan Nasional (PN), kalau saya macam Rina, saya sudah lompat.

“Saya juga sanggup tinggalkan Pas bila Pas lompat tinggalkan Pakatan Rakyat. Maknanya, saya tidak pernah khianat dan tidak pernah lompat macam yang Rina buat,” katanya dalam Ceramah Mega Harapan di Dataran PPR Laksamana, Titiwangsa, di sini malam tadi.

Ceramah tersebut turut disertai pimpinan utama PH seperti Fahmi Fadzil dan Dr. Dzulkefly Ahmad.

Dalam pada itu, Khalid berkata, meskipun dianggap orang luar dari Parlimen Titiwangsa,  beliau mempunyai rekod baik yang pernah berkhidmat di Shah Alam selama 15 tahun.

Maka sebab itu, katanya, peluang harus diberikan kepadanya untuk berkhidmat di Parlimen berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, pengundi Titiwangsa beruntung jika memilihnya sebagai Ahli Parlimen kerana akan ‘memperoleh dua individu’ yang akan berkhidmat untuk penduduk di situ.

Selain beliau, katanya, seorang lagi individu adalah calon Johari yang dilihat tetap meneruskan khidmat kepada penduduk Parlimen Titiwangsa walaupun kalah pada pilihan raya umum.

“Kalau dia (Johari) jadi wakil rakyat, dia buat apa yang dia dah buat. Dia tidak akan buat sebagai dua kumpulan. Dia terus berkhidmat membantu rakyat, saya sebagai Ahli Parlimen menambah perkhidmatan, bantu warga Titiwangsa. Ini bermakna pengundi di sini dapat dua kali ganda, dua sumber bantuan.

“Saya akan bersuara membela warga Titiwangsa. Saya akan bantah penggunaan akta pengambilan tanah yang tidak adil dan zalim,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya