KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua bertanding sebagai calon Bebas di kawasan tersebut untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyerahkan nasibnya kepada partinya, PKR.
Tian Chua yang juga bekas Naib Presiden parti itu berkata, pucuk pimpinan parti mempunyai hak untuk menentukan keputusan berkenaan keahliannya dan beliau sedia menerima apa sahaja keputusan.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas berfikir panjang dan pada saat mengumumkan dirinya sebagai calon Bebas bagi kawasan Parlimen Batu, beliau sudah tekad dengan pilihan itu.
“Jadi dengan ini saya sedia menerima segala keputusan dengan hati yang terbuka. Saya tidak akan memberi kritikan mengenai macam mana parti membuat pemilihan calon untuk PRU15, ia bukan kuasa saya. Saya punya komplen juga bukan terhadap Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Rafizi (Rafizi Ramli).
“Mereka memang sudah termaktub untuk membuat keputusan yang terbaik untuk parti dan saya terima,” katanya semasa ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di SMK Sentul Utama.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Tian Chua berhasrat kembali semula ke kerusi tersebut pada PRU15 atas permintaan pengundi di kawasan berkenaan bagaimanapun Namanya tidak tercalon kali ini apabila Pakatan Harapan (PH) kekal mencalonkan penyandang kerusi Parlimen tersebut, Prabakaran Parameswaran.
Prabakaran memenangi kerusi Parlimen Batu semasa PRU Ke-14 dengan majoriti sebanyak 24,438 undi dengan bantuan jentera PH ketika itu apabila Tian Chua hilang kelayakan mempertahan Parlimen tersebut.
Mengulas mengenai dakwaan bahawa beliau sengaja ingin memecah undi, Tian Chua berkata, biar keputusan PRU15 menentukan sama ada beliau memecahkan undi atau sebaliknya.
“Saya ingin tekankan di sini, sekiranya tidak menawarkan pilihan seperti ini ada kebarangkalian kerusi Parlimen Batu jatuh kepada pihak lawan kita.
“Sebab itu kita boleh lihat pihak lawan senang hati bila saya tidak bertanding, tetapi bila saya menamakan diri sebagai calon Bebas saya dapat patahkan komplot mereka untuk merampas kerusi ini,” katanya. – UTUSAN