Saya sentiasa bantu, bukan muncul 5 tahun sekali - Uncle Kentang

Saya sentiasa bantu, bukan muncul 5 tahun sekali – Uncle Kentang

UNCLE Kentang membawa seorang warga emas ke Hospital Serdang selepas mengadu sesak nafas ketika hadir ke pejabat Pertubuhan Amal Uncle Kentang di Bandar Puchong, Selangor. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Calon Bebas Parlimen Puchong, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang mahu memperjuangkan nasib golongan ibu tunggal dan warga emas sebagai agenda utama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Calon berusia 59 tahun itu berkata, ia berikutan peningkatan kes penceraian yang berlaku selepas negara dilanda pandemik Covid-19 sehingga menyebabkan ramai ibu-ibu tunggal yang teraniaya.

Tegas Chee Heng, sama ada beliau diangkat sebagai wakil rakyat atau sebaliknya, dua agenda itu sentiasa menjadi keutamaan dalam meneruskan kerja-kerja kebajikannya.

“Ramai ibu tunggal yang terpinga-pinga selepas mereka bercerai ditambah pula dengan masalah kerumitan menuntut hak nafkah tidak kira membabitkan orang Islam atau bukan Islam.

“Dipilih atau tidak dipilih (dalam PRU15), saya tetap akan kumpulkan barisan peguam dan tubuhkan satu bahagian khas untuk membantu ibu tunggal yang teraniaya bagi menuntut hak-hak mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabat Pertubuhan Amal Uncle Kentang, Bandar Puchong Utama di sini hari ini.

Chee Heng berkata, sekiranya tiada mana-mana pihak yang tampil untuk menghulurkan bantuan tidak mustahil nasib golongan berkenaan akan terus ditindas pada masa akan datang.

Jelas aktivis kemasyarakatan itu, apa yang dilakukannya selama ini adalah atas dasar tanggungjawab dan rasa kecintaan terhadap aktiviti kebajikan.

“Ramai nak tuntut harta sepencarian, nafkah anak-anak dan sebagainya tapi mereka nak makan pun tiada duit macam mana nak upah peguam dan tambang pengangkutan untuk turun naik mahkamah?” soalnya. 

Dalam pada itu, Chee Heng berkata, sudah tiba masanya untuk negara mewujudkan dasar membabitkan warga emas memandangkan Malaysia dijangka mencapai status negara tua atau ‘aged nation’ menjelang 2030.

“Kita ada Akta Kanak-Kanak tapi tiada akta melindungi warga emas, adakah pengorbanan ibu dan ayah ini tidak diambil kira? Maka kita kena ada polisi yang boleh membantu golongan tersebut termasuk menyediakan fasiliti khas serta perkhidmatan kesihatan.

“Buat kerja-kerja kebajikan ini patut letak pada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) tapi oleh kerana masih ada ruang-ruang yang belum diselesaikan, kita perlu bawa suara mereka ini untuk dibela di Parlimen,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keyakinan beliau menentang calon-calon lain di Parlimen Puchong, Chee Heng berkata, kesemua pilihan tersebut terletak di tangan pengundi untuk memilih calon kegemaran mereka.

Katanya secara berseloroh, beliau bukan lah seperti calon-calon lain yang hanya timbul lima tahun sekali ketika musim pilihan raya untuk bertemu rakyat.

“Apa yang banyak kita lihat kebanyakan ahli politik mendahulukan parti, mereka akan cakap parti dahulu baru rakyat. 

“Kita bukan lima tahun sekali baru muncul tapi setiap hari kita ada untuk hulurkan bantuan. Saya pun tak boleh nak kata apa tapi kita lihat pengundi Puchong (akan) pilih siapa nanti kerana saya ini bukan orang elit nak jumpa di hotel mewah atau padang golf, di kedai mamak pun boleh jumpa,” katanya.

Selepas Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih tiga tahun lalu, Chee Heng sekali lagi menawarkan diri sebagai calon Bebas dan bakal berdepan saingan empat penjuru menentang Yeo Bee Yin (Pakatan Harapan), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader (Barisan Nasional) dan Chew Jyh Gang (Perikatan Nasional).

Pada PRU14, kerusi Parlimen Puchong dimenangi oleh Gobind Singh Deo dari DAP dengan majoriti 47,635 undi menewaskan Ang Chin Tat (BN-MCA) yang mendapat 12,794 undi dan Mohamad Rosharizan (PAS) dengan 10,255 undi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya