Saya orang pertama dipecat Mahathir - Irwan Serigar

Saya orang pertama dipecat Mahathir – Irwan Serigar

MOHD. Irwan Serigar Abdullah (tengah) pada program Santai Komuniti Kampung dan Anak Muda di Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Ramai penjawat awam pro-Barisan Nasional (BN) dipecat Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejurus blok itu menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Malahan, menurut Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah, beliau juga tidak terkecuali dan menjadi individu pertama dibuang tanpa sebab kukuh oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Kebencian beliau kepada UMNO amat tinggi waima semua penjawat awam khususnya ketua jabatan yang diketahui sokong BN dan anti-PH disingkirkan drastik begitu sahaja,” kata bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan itu ketika mengimbau pengalamannya semasa berceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN Pulau Meranti di sini lewat malam tadi. 

Mengulas lanjut, Mohd. Irwan Serigar berkata, ramai penjawat awam yang tidak dipecat pula dikenakan pelbagai bentuk tekanan dan ugutan berbaur politik untuk kes sengaja direka.

Bagi wakil rakyat BN pula ujarnya, ada segelintir terpaksa menjadi pengkhianat dengan lompat parti kerana bimbang dituduh di mahkamah dan amalan ini bukan asing kepada Mahathir. 

“Saya pun antara jadi mangsa dan dituduh konon ada buat salah itu dan ini walhal ia semua fitnah dicipta PH bagi menghasut rakyat agar terus meluat kepada BN,” jelasnya kesal. 

Tohmahan itu berjaya membina persepsi buruk kepada BN namun, ujarnya, Allah Maha Adil apabila segala penipuan PH dengan manifesto palsunya terbongkar sedikit demi sedikit. 

Beliau turut memberi contoh propaganda PH semasa kempen PRU14 lalu berhubung isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang sengaja dimomok untuk rakyat bangkit membenci BN, sedangkan tindakan pemansuhan sistem percukaian itu menyaksikan pendapatan negara jatuh dengan syarikat dan peniaga tidak jujur dapat bebas menipu pihak kastam. 

Sedangkan, tegas Mohd. Irwan Serigar, GST sudah diamalkan lebih 160 negara di dunia sejak 1970-an lagi dan terbukti berjaya dalam mengekang gejala ketirisan hasil kerajaan sendiri.

Bahkan, pelaksanaan kaedah percukaian itu di Malaysia pada 2015 sebelum dihapuskan PH pada 2018 sebenarnya membendung budaya mafia yang memanipulasi pasaran gelap.

“Dulu PH selalu canang konon GST punca barang mahal tetapi selepas dimansuh pun harga tetap naik ‘gila’ dan rakyat miskin terus ditindas geng kartel yang bijak menipu ini,” katanya. 

Selain itu, beliau menempelak PH yang membatalkan banyak projek prasarana mega berimpak tinggi kepada ekonomi negara dengan berselindung alasan konon pembaziran duit rakyat.

Ini termasuk tren berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura yang dibatalkan sehingga Malaysia terpaksa membayar begitu sahaja pampasan lebih RM300 juta kepada republik tersebut. 

Langkah tidak mesra bisnes PH itu kata Mohd. Irwan Serigar, menyebabkan pelabur asing ‘lari’ ke negara jiran dan mengakibatkan Bursa Malaysia bukan lagi pilihan terbaik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya