PETALING JAYA: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi tampil mendesak Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya meletak jawatan sebagai Presiden UMNO susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, Ahmad Zahid perlu berjiwa besar melepaskan jawatannya seperti yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Ramai pemimpin UMNO, MCA dan MIC yang berkaliber dan berpotensi terkorban kerana kita tidak mahu mendengar denyut nadi akar umbi. Kita semua perlu berani membuat perubahan ke arah kebaikan demi masa depan parti ini.
“Usaha untuk memulih dan memperbaiki parti ini perlu bermula sekarang. Jika kita tidak berubah sekarang, kita tidak akan memenangi satu kerusi pun pada masa akan datang.
“Oleh itu, dengan rasa penuh hormat dan takzim, saya memohon supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai presiden pada kadar yang segera, sebagaimana Datuk Seri Najib Razak berjiwa besar dengan meletak jawatan sebagai presiden pada 2018,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, peletakan jawatan Zahid akan membantu parti mengambil langkah pertama untuk memulihkan dan menguatkan kembali UMNO.
“Insya-Allah, perjuangan ini akan diteruskan. Semoga Allah merestui dan merahmati perjuangan serta pengorbanan kita semua,” katanya.
Beliau juga mengakui berlakunya tsunami politik orang Melayu, apabila orang Melayu menolak UMNO dan memilih Perikatan Nasional (PN).
“UMNO rebah. UMNO dan BN hanya menang sembilan kerusi Parlimen di Johor. Kita tidak memenangi satu pun kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan mahupun Terengganu.
“Walaupun pahit untuk ditelan, pemimpin UMNO termasuk saya sendiri perlu kembali mendengar suara rakyat yang telah diterjemahkan melalui undi mereka semasa PRU15,” katanya. –UTUSAN