DENGKIL: “Saya hanya fikir mahu selamatkan 10 ekor kucing ini dahulu dan harta benda lain saya fikirkan kemudian,” kata seorang mangsa banjir, Norhaslinda Mohamad Hasbor, 48.
Dalam kejadian banjir kilat di Kampung Cemperai, di sini, rumah didiami Norhaslinda sekeluarga dinaiki air melebihi satu meter.
Norhaslinda berkata, air naik dengan pantas dan dia terpaksa menyelamatkan kucingnya dahulu dan meletakkannya di tempat lebih selamat.
Katanya, air mula memasuki rumah pukul 7 pagi yang pada ketika itu dia sedang bersiap untuk keluar ke tempat kerja di Bangi.
“Setiap hari saya akan bangun pukul 5.30 pagi bagi memeriksa kucing sebelum ke tempat kerja.
“Saya memikirkan keselamatan 10 ekor kucing saya sahaja. Kerja memindahkan kucing itu dibantu suami, Hairi Abdullah, 52, dan anak tunggal kami, Muhammad Dhia Hajid, 19,” katanya ketika ditemui hari ini.
Katanya, dia akui trauma dengan kejadian banjir kerana kediamannya pernah dilanda banjir besar pada penghujung tahun lalu.
Jelasnya lagi, kebanyakan penduduk di sini mengalami kerugian besar harta benda susulan banjir besar itu.
Difahamkan, banjir kilat melanda beberapa lokasi di Dengkil sejak pagi tadi susulan limpahan air Sungai Langat dan beberapa kejadian ban pecah di sepanjang aliran sungai berkenaan. – UTUSAN