Saya hanya rehatkan belakang tangan, bukan lap - Rina Harun

Saya hanya rehatkan belakang tangan, bukan lap – Rina Harun

TANGKAP layar video tular memaparkan insiden Rina Harun mengelap tangannya di pakaian ibunya, Taiyibah Rusli setelah bersalaman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Sepang, Datuk Seri Rina Mohd. Harun menyangkal ada mengelap tangan di pakaian ibunya, selepas bersalaman dengan seseorang.

Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa individu yang bersalaman itu ialah pegawainya dan beliau hanya merehatkan belakang tangan, bukan bahagian telapak seperti didakwa netizen.

“Saya berharap agar warganet dapat elak buat tuduhan tidak berasas dan negatif kerana apa yang ditohmahkan itu adalah jelas tidak benar sama sekali,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir menyaksikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memproses undi pos melibatkan sejumlah 51 pemilih kerusi tersebut yang tidak hadir kerana berada di luar negara.

Ia dilaksanakan di Dewan Komuniti Bandar Baru Salak Tinggi di sini, manakala proses bagi pengundian awal yang meliputi seramai 1,850 pemilih akan dilakukan pada 15 November depan.

Sejak semalam, pengguna media sosial tempatan kecoh dengan video tular yang memaparkan insiden Rina mengelap tangannya di pakaian ibunya, Taiyibah Rusli setelah bersalaman.

Insiden dirakamkan ketika hari penamaan calon pada Sabtu lalu itu ditonton lebih 3,000 kali dan menerima banyak komen negatif termasuk menuduh aksi beliau sebagai kurang sopan.

Mengulas lanjut, beliau berharap individu yang memfitnah dirinya itu supaya menghentikan segera perbuatan mereka kerana perkara sedemikian kurang baik dan dilaknat Allah SWT.

“Saya tidak ada masalah dengan penduduk di sini kerana ramai yang sudah lama mengenali saya serta ahli keluarga kerana kami memang pun penduduk tempatan di sini,” katanya kesal dakwaan netizen seolah-olah ingin memfitnah dan menjatuhkan peribadinya ketika sedang berkempen pada PRU15 ketika ini.

Pada masa sama, beliau menyarankan semua parti yang bertanding dapat berkempen secara sihat demi menjaga kesejahteraan dan bukan cuba mengeksploitasi sentimen kebencian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya