SEPANG: Ribuan penduduk di Salak di sini bakal menikmati fasiliti Klinik Kesihatan Salak yang lebih baik dalam masa terdekat demi keselesaan mereka ketika menerima rawatan.
Perkara tersebut antara yang cuba diusahakan calon Barisan Nasional (BN), Anuar Basiran ketika melakukan tinjauan di premis berkenaan ketika turun padang dengan jentera parti.
“Banyak yang dapat ditambah baik di klinik dan perlu disegerakan bagi menampung ramai pesakit dari sekitar pekan dan kawasan berhampiran,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyantuni pesakit yang berada di fasiliti berkenaan, hari ini.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, klinik kerajaan yang sudah berusia lebih 30 tahun itu memerlukan banyak penambahbaikan susulan pertambahan penduduk sekitar pekan Salak antaranya keadaan lantai di luar klinik itu yang dijadikan sebagai kawasan untuk pesakit luar menunggu giliran.
“Lantai kawasan ini yang hanya disimen tidak rata sepatutnya perlu dipasang jubin sesuai kerana kita bimbang ada pesakit boleh tergelincir dan cedera akibat licin jika basah,” katanya.
Begitu juga permintaan pihak klinik agar dapat disegerakan pembinaan taman teraupetik dan beliau akan cuba membawa isu tersebut terus kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Pada masa sama, beliau juga akan berbincang dengan pihak Jabatan Kerja Raya mengenai kebimbangan projek pelebaran jalan raya di depan klinik yang mungkin menyempitkan premis sekali gus dikhuatiri kawasan klinik itu menjadi lebih padat dan sesak.
Menyentuh isu jalan pintasan antara tujuh kampung dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), beliau berkata, projek penurapan bakal dibuat dalam masa terdekat setelah peruntukan diluluskan Kementerian Pembangunan Luar Bandar selepas tergendala lebih lima tahun. – UTUSAN