Saya ada simpanan RM2 juta pada usia 30 tahun - Rafizi - Utusan Malaysia

Saya ada simpanan RM2 juta pada usia 30 tahun – Rafizi

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, 45, mendedahkan memiliki simpanan tunai melebihi RM2 juta pada usia semuda 30 tahun berikutan rekod kerjayanya yang baik.

Pendedahan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Pandan itu sekali gus menolak tuduhan kononnya menggunakan dana awam melalui Invoke Sdn. Bhd. (Invoke) hingga mampu memiliki harta bernilai kira-kira RM18.85 juta.

Rafizi berkata, sebagai akauntan bertauliah di London gajinya dibayar dalam mata wang pound, malah sekembalinya ke tanah air ketika berusia 26 tahun, dia menerima kenaikan pangkat  dalam tempoh hanya dua tahun berkhidmat di Petronas.

Katanya, gaji permulaannya pada masa itu ialah RM3,750 sebulan, namun jumlahnya melonjak kepada RM11,000 apabila ditawarkan sebagai pengurus selepas enam bulan kemudian.

“Saya sekali lagi dinaikkan pangkat sebagai Ketua Bahagian Perancangan Petrokimia pada usia 27 tahun dengan gaji RM25,000 sebulan di samping dibayar pampasan RM400,000 dua tahun berikutnya kerana pemendekkan tempoh perkhidmatan dan umur persaraan yang dibuat syarikat.

“Malah, saya berada dalam industri minyak dan gas ketika harga komoditi itu naik mendadak dengan purata bonus tahunan antara 10 hingga 12 bulan setahun sepanjang tujuh tahun berkhidmat.

“Simpanan itu yang digunakan untuk memulakan syarikat pemula,” katanya dalam sidang akhbar mingguan di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Baru-baru ini, calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon mempertikaikan sama ada kekayaan Rafizi itu hasil dana awam yang dikumpul pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Sementara itu, Rafizi menyifatkan serangan oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang membangkitkan perkara remeh-temeh adalah semata-mata untuk mengalihkan perhatian berikutan keengganan pihak lawan mengisytiharkan harta.

Beliau turut menyindir lawan agar belajar membaca penyata kewangan sebelum memperbodoh diri masing-masing.

“Nilaian syarikat pemula berasaskan teknologi bukan bergantung kepada keuntungan tahunan semata-mata, sebaliknya ada pelbagai model kewangan yang digunakan secara piawai untuk menilainya.

“Invoke mempunyai dua anak syarikat dengan merekodkan keuntungan setiap tahun sejak 2020 dan propaganda BN serta PN kononnya kita rugi adalah kerana mereka tidak faham penyata kewangan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Rafizi berkata, setakat ini hanya dua calon PKR yang bertanding dalam PRU15 belum mengisytiharkan harta dan proses itu dijangka selesai dua hari lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya